Tuesday, 19 July 2011

Kerak Nasi Untuk Ibu




alt
Hari ini semua adik-beradik pulang beraya di Kuala Lumpur setelah beraya di kampung mertua. Ibu yang di KL agak kesunyian, tetapi setelah mendengar abang dan kakak-kakak hendak datang beraya, ibu gagahi juga bangun pagi menggoreng nasi buat santapan pagi mereka yang akan datang nanti
Aku yang bongsu tinggal dirumah sambil menolong apa yang patut memerhati kegagahan ibu yang sememangnya aku tahu sakit dan bengkak kakinya semakin menjadi-jadi semenjak bulan puasa tempohari.
Aku minta untuk membantu... "tak payah" katanya.
"Biar mak yang buat.. nanti lain rasanya kalau kamu yang buat."
Aku biarkan sahaja walau dalam hati terasa pedih dan sayu melihat kegagahan mak nak juga sediakan nasi goreng untuk anak-anaknya yang bakal merayakan Aidilfitri bersamanya.
Aku tahu di sudut hati mak ada rasa sedih dan sayu kerana anak lelakinya tak beraya bersama di pagi raya.. tetapi langsung tidak ditunjuk malah ingin pula menjamu anaknya.
Terhinjut-hinjut mak ke sana ke mari mengambil bahan-bahan nasi goreng.
Bukan main khusyuk dan bersungguh-sungguh beliau cuba menyediakan juadah; semampunya.
Apabila semua abang, kakakku dan anak saudaraku sampai aku mula hidangkan nasi yang digoreng oleh mak tadi.
Semuanya pakat menjamu selera.. memang berselera semua sukakan nasi goreng mak.. mak tahu anak-anaknya sukakan nasi goreng air tangannya..
Dalam tak sedar nasi dah hampir habis. Terdetik dihatiku :
"Ahhh mak belum makan apa-apa semenjak pagi kerana sibuk sediakan nasi tu."
Tiba-tiba abangku bertanya, "siapa yang tak makan lagi nasi ni?"
Aku menjawab, "mak belum makan lagi.."
Mak dengan bersungguh menjawab, "ehh mak tak mahu... tak lalulah nasi goreng, nak makan roti jer sekejap lagi."
Dua tiga kali kami pelawa begitu juga jawabnya. Kataku dalam hati, " oohh mungkin juga mak nak makan roti sebab nak kawal penyakit kencing manisnya."
Bila semua dah pulang.. aku lihat mak terhinjut-hinjut ke dapur. .lantas aku bertanya, "mak nak apa.. saya nak ambilkan.'
"Tak mengapa, mak nak rasa makanan ni sikit.'
Sayu sedih dan terguris sungguh hati aku.. bila kulihat mak rupanya sedang mengikis kerak-kerak nasi goreng yang masih berbaki dalam kuali untuk dimakan.
Itulah kasih seorang ibu pada anak-anaknya..
Zaman sekarang pun masih ada ibu yang sanggup berlapar dan mendahulukan anak-anaknya asal mereka semua kenyang. Kami benar-benar kalah dengan apa yang kami saksikan..
"YA Allah, Engkau peliharalah ibu kami.. ampunilah dosanya.. berilah kekuatan kepada anak-anaknya untuk membalas jasa ibu yang tak terhingga, amin.."

Kecantikan Sejati Bukan Di Wajah




alt
"Boleh saya melihat anak saya?" pinta seorang ibu yang baru melahirkan seorang anak dengan penuh kebahagiaan. Ketika gendongan itu berpindah ke tangannya dan ia membuka selimut yang menutupi wajah bayi lelaki yang comel itu.
Ibu itu menahan nafasnya. Doktor yang menunggunya segera berbalik memandang ke arah luar jendela rumah sakit tidak sampai hati menatapi wajah ibu tersebut. Bayi itu dilahirkan tanpa kedua belah telinga.

**************

Waktu berlalu dan kini bayi tersebut telah menjadi seorang anak yang boleh beraktiviti dengan sempurna, cuma penampilannya saja yang tampak aneh dan kurang cantik.
Suatu hari anak tersebut bergegas pulang ke rumah, dan dia terus membenamkan wajahnya di pelukan ibunya sambil menangis. Si ibu tahu hidup anaknya penuh dengan kekecewaan dan tragedi. Sambil teresak-esak anak lelaki itu mengatakan yang dia diejek oleh orang dewasa dan dikatakan anak ini adalah makhluk aneh.
Di sekolah, anak tersebut disukai oleh rakan-rakan sekolah. Anak tersebut membesar tampan dengan kecacatannya. Dia berbakat dalam bidang muzik dan penulisan.
"Ibu, saya ingin menjadi ketua kelas."
Ibu hanya mendiamkan diri, tapi di dalam hati ibu merasa kasihan dengan anaknya.
Suatu hari si Ayah terus berjumpa dengan seorang doktor yang boleh melekatkan telinga untuk anaknya.
"Saya percaya saya boleh memindahkan sepasang telinga untuknya, tetapi harus ada orang yang tampil untuk menderma."
Beberapa bulan kemudian si ayah memanggil anaknya sambil berkata, "Nak, seorang yang tak ingin dikenali telah bersedia mendermakan telinganya untukmu. Kami harus segera menhantar kamu ke hospital untuk menjalani pembedahan tetapi jangan ditanya siapa yang menderma."
Pembedahan dilakukan dengan berjaya dan kini telah lahir seorang lelaki yang mempunyai cukup sifat. Bakat muziknya yang hebat menjadikan dia terkenal dan menerima banyak penghargaan dari sekolahnya.
Masa berlalu dan dia pun berkahwin dan bekerja sebagai seorang yang berpangkat besar. Terdetik di hatinya tentang masa-masa silam lalu dia menghampiri ayahnya.
"Ayah, saya hendak mengetahui siapa yang telah mengorbankan ini semua pada saya, ayah. Ia telah membuat sesuatu yang amat besar dan ingin sekali saya membalas budinya."
Ayahnya menjawab, "Ayah yakin kau tidak boleh membalas kebaikan hati orang yang telah memberikan telinga itu."
Setelah terdiam sesaat ayahnya melanjutkan kata-kata, "Ayah tidak dapat membuka rahsia ini sebelum tiba saatnya."
Tahun berganti tahun ayahnya tetap menyimpan rahsia. Hinggalah pada suatu hari tibalah saat yang menyedihkan bagi keluarga itu. Di hari itu ayah dan lelaki itu berdiri di tepi jenazah ibunya yang baru saja meninggal dunia. Dengan perlahan dan penuh syahdu si ayah membelai rambut isterinya yang terbujur kaku sambil menyelak rambut sehinggalah tampak bahawa si ibu tidak mempunyai telinga.
Sambil menangis si ayah berkata, "Ibumu sangat suka menyimpan rambut yang panjang dan tak seorang menyedari bahawa ia telah hilang sedikit kecantikannya."
SubhanAllah..

************

Sahabatku, kecantikan yang sejati tidak terletak pada penampilan tubuh tapi ia adalah di dalam hati.
Harta karun yang hakiki tidak terletak pada zahirnya, namun pada apa yang tidak dapat dilihat.
Kasih sejati tidak terletak pada apa yang telah dikerjakan dan diketahui, namun pada apa yang dikerjakan dan tidak diketahui.

Kisah Tukang Gunting Rambut



Kisah ini berlaku di sebuah negara yang mempunyai ramai penduduk yang miskin. Suatu hari, seorang lelaki bernama Manan datang ke sebuah kedai gunting rambut untuk memotong rambutnya. Dia pun memulakan perbualan dengan tukang gunting yang melayaninya. Perbualan mereka kemudiannya menjadi semakin hangat. Pelbagai topik dibincangkan, hingga akhirnya Tuhan menjadi subjek perbualan.
"Encik, saya ni tak percaya kalau Tuhan itu ada seperti yang Encik katakan tadi," tanya si tukang gunting.
Mendengar ungkapan itu, Manan terkejut dan bertanya, "Mengapa kamu berkata demikian?"
"Mudah saja, cuba Encik jenguk ke luar tingkap itu dan sedarlah bahawa Tuhan itu memang tidak ada. Tolong jelaskan pada saya, jika Tuhan itu ada, mengapa ramai orang yang sakit? Mengapa ramai anak terbiar? Jika Tuhan itu ada, tentu tidak ada sesiapa yang sakit dan tentu juga tidak akan berlaku penderitaan di negara ini. Tuhan apa yang mengizinkan semua itu terjadi??!!" ungkap si tukang gunting dengan nada yang tinggi dan angkuh.
Manan pun berfikir tentang apa yang baru saja diperkatakan oleh tukang gunting itu. Namun, ia sama sekali tidak memberi respon atau jawapan agar perbincangan tersebut tidak menjadi hangat lagi.
Setelah tukang gunting itu selesai melakukan pekerjaannya, Manan pun berjalan keluar dari kedai tersebut. Baru beberapa langkah, dia bertembung dengan seorang lelaki berambut sangat panjang serta tidak kemas. Tiba-tiba, tercetus difikirannya bahawa mungkin lelaki itu sudah lama tidak pergi ke kedai gunting rambut dan itu membuatkannya kelihatan tidak kemas.
Manan kembali masuk ke dalam kedai dan kemudian berkata kepada si tukang gunting, "Tukang gunting itu sebenarnya tidak ada di dunia ini sepertimana yang anda kata bahawa Tuhan itu tidak ada!"
Si tukang gunting pun terkejut dengan kata-kata Manan itu.
"Bagaimana mungkin mereka tidak ada, buktinya adalah saya. Saya ada di sini dan saya adalah seorang tukang gunting!!" bentak si tukang gunting.
"Tidak, mereka tidak ada. kalau mereka ada, tidak mungkin ada orang yang berambut sangat panjang serta tidak kemas itu," kata Manan dengan tegas sambil mengarahkan pandangannya kepada lelaki berambut panjang di luar sana."
"Ah, anda merepek saja... tukang gunting selalu ada di mana-mana. Yang terjadi pada lelaki itu adalah kerana dia tidak mahu berusaha datang ke kedai saya dan meminta pertolongan saya untuk digunting rambutnya," jawabnya tenang sambil tersenyum.
"Tepat sekali! Itulah jawapannya kepada soalan awak kepada saya tadi. Tuhan itu memang ada. Yang terjadi pada manusia itu adalah kerana mereka tidak mahu berusaha dalam hidup dan datang mencari dan meminta pertolongan dari Tuhannya. Itulah sebabnya mengapa begitu banyak penderitaan di negara ini," tegas Manan.
Mendengar jawapan dari Manan tersebut menyebabkan si tukang gunting diam membisu tidak terkata.

Kisah Lobak, Telur Dan Coklat Panas

Nur Izzah, seorang pelajar undang-undang di Kolej Safir merasakan hidupnya tertekan kerana silih-berganti masalah yang perlu dihadapinya. Sudah sampai tahap 'horror'. Maka, Nur Izzah pun mengadu hal ini kepada bapanya, seorang Chef tersohor di mata dunia, bernama Chef Jay.
Di dalam dapur yang sentiasa berasap, Chef Jay mengambil 3 biji periuk 'stainless steel' yang berisi air paip dan memanaskannya di atas dapur gas yang kuat apinya.
Nur Izzah kelihatan bingung melihat gelagat ayahnya, Chef Jay itu. Apabila air di dalam periuk tersebut kelihatan mulai menggelegak, Chef Jay memasukkan lobak merahtelur ayam kampung dan 5 sudu besar serbuk coklat panas jenama Galaxy ( memang sedap), setiap satunya ke dalam periuk yang berasingan.
Nur Izzah menarik muka masam. Dia tidak merasakan ayahnya memahami masalahnya. Selepas beberapa ketika, Chef Jay mengangkat lobak merah dan telur ayam kampung ke dalam dua mangkuk dan menuangkan coklat panas ke dalam gelas. Dialog antara ayah dan anaknya pun bermula.
Chef Jay : Apa yang Izzy (nama manja) nampak?
Nur Izzah : Lobak merah, telur ayam kampung dan coklat panas...
Chef Jay : OK... cuba Izzy rasa lobak merah, kupas telur ayam kampung dan hirup sedikit air coklat panas tu... lepas tu... beritahu ayah apa yang Izzy rasa.
Nur Izzah : Hmmm... lobak merah tu lembut dan senang dikunyah, telur ayam kampung tu sebelum masak dalamnya cair (mentah) tapi bila dah rebus jadi keras dan yang paling sedap air coklat panas tu yang begitu enak ketika panas. Tapikan... kenapa ayah buat macam ni???
Chef Jay : Sesungguhnya, dengan memasak pun boleh menyelesaikan masalah Izzy tu. Ketiga-tiga bahan tu memberikan tindak balas yang berlainan terhadap air panas yang menggelegak. Lobak merah yang pada mulanya keras menjadi lembut bila direbus. Telur ayam kampung pada mulanya isi dalamnya cair, tetapi menjadi keras apabila direbus. Coklat panas itu pula tidak enak dimakan begitu sahaja, tetapi enak diminum panas-panas apabila dibancuh dengan air panas.
Nur Izzah : Jadi apa kaitannya dengan masalah Izzy ni? Izzy tak faham.
Chef Jay : Air yang panas menggelegak itu umpama semua masalah Izzy dan ketiga-tiga bahan itu menggambarkan yang mana satukah Izzy nak jadi. Jangan jadi seperti lobak merah, pada mulanya keras (kuat) tetapi lembut (lemah) apabila di rebus di dalam air panas (masalah). Jangan jadi seperti telur ayam kampung isi dalamya cair (umpama hati yang lembut dan boleh di bentuk), tetapi apabila direbus menjadi keras (hati menjadi keras umpama batu) walaupun daripada luar kelihatan masih sama. Jadilah seperti coklat panas itu, menukar air panas itu dan menjadi air coklat panas yang enak. Begitulah Izzy yang sepatutnya, jadikanlah masalah itu sesuatu yang memberi manfaat dan pengalaman yang berharga di dalam hidup, moga-moga kita lebih matang dan bijak menghadapi masa hadapan.
Nur Izzah menitiskan air mata terharu mendengar nasihat ayahnya itu... Seakan-akan muncul semangat baru di dalam diri Nur Izzah untuk terus mara ke hadapan.
Sahabat-sahabatku sekalian...
Ujian adalah Tarbiyyah daripada Allah s.w.t.
Berilah pertolongan kepada mereka yang bermasalah walaupun hanya sekadar mendengar masalah mereka.
Moga-moga kita dirahmati Allah s.w.t. Amin...

Kisah Seorang Cikgu Tadika

Ada seorang cikgu tadika yang tak percaya wujudnya Tuhan. Dia pun berfikir bagaimana hendak mempengaruhi kanak-kanak di tadika tersebut supaya tak percaya wujudnya Tuhan. Tiba-tiba, dia mendapat satu akal...
Guru tadika : Anak-anak, nampak tak pen ini?
Murid-murid : Nampak cikgu.
Guru tadika : Pen ada kan?
Murid-murid : Ada cikgu.
Kemudian guru tadika tadi memasukkan pen itu ke dalam poket dia dan kemudian bertanya lagi..
Guru tadika : Anak-anak, nampak tak pen?
Murid-murid : Tak nampak cikgu.
Guru tadika : Pen ada tak?
Murid-murid : Tak ada cikgu.
Guru tadika : Anak-anak nampak Tuhan tak?
Murid-murid : Tak nampak cikgu.
Guru tadika : Tuhan ada tak?
Murid-murid : Tak ada cikgu.
Guru tadika itu sangat gembira kerana tujuannya untuk mempengaruhi kanak-kanak itu berjaya. Tetapi.. dalam kumpulan kanak-kanak itu ada seorang budak yang pintar yang bernama Amin lalu dia pun mengangkat tangan...
Amin : Cikgu, boleh saya cakap sesuatu?
Guru tadika : Boleh, mari ke depan.
Amin : Kawan-kawan nampak cikgu tak?
Murid-murid : Nampak.
Amin : Cikgu ada kan?
Murid-murid : Ada.
Amin : Kawan-kawan nampak otak cikgu tak?
Murid-murid : Tak nampak.
Amin: Cikgu ada otak tak?
Murid-murid : Tak ada.

Imam Dan 20 Sen

Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.
Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.
Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.
"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam tersebut bertanya kepada dirinya.
"Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup," kata Imam tersebut.
Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti.
Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.
"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.
"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya," pemandu bas tersebut berkata.
Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur."
Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam."
Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!!Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!"
Sahabat-sahabatku sekalian...
Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas? Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam.
Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu terdapat contoh teladan yang baik.

Kisah Penjual Tempe



Di kawasan pedalaman tanah Jawa, terdapat seorang wanita bernama Jumilah.
Jumilah adalah seorang ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan tempe.
Setiap hari Jumilah akan membuat tempe dan menjual tempe yang menjadi di pasar.
Pada suatu hari, seperti biasa Jumilah bersiap-siap untuk ke pasar, tetapi alangkah terkejutnya Jumilah apabila mendapati tempe yang dibuat dari kacang soya terpilih itu masih belum menjadi lagi dan tidak boleh dijual lagi.
Jumilah kebingungan, tidak keruan apa yang patut dilakukan.
Maka Jumilah menadah tangan memohon pada Tuhan agar tempenya itu menjadi kerana tiada yang mustahil bagi Tuhan untuk menjadikan sesuatu itu.
Setelah selesai berdoa, Jumilah menekan-nekan tempe-tempenya di dalam bungkusan kalau-kalau sudah menjadi.
Ternyata tempenya masih lagi belum menjadi.
Hari semakin cerah, maka sudah tentunya orang ramai sudah mulai mengunjungi pasar.
Jumilah masih lagi tidak berputus harap pada Tuhan malah dia membawa tempe-tempenya ke pasar dengan harapan akan berlaku keajaiban kepada tempe-tempe tersebut.
Jumilah tidak putus-putus berdoa agar tempe-tempenya menjadi apabila sampai di pasar nanti.
Sampai sahaja dipasar, Jumilah melihat tempe-tempe yang dijual oleh rakan-rakan penjual tempe yang lain hampir habis.
Jumilah tanpa lengah-lengah lagi berkemas-kemas membuka gerai dan dengan perasaan berdebar-debar memeriksa tempe-tempenya samada sudah menjadi atau tidak.
Ternyata seperti tidak percaya apabila melihat tempe-tempenya masih lagi belum menjadi.
Jumilah terduduk kesedihan dan memanjatkan doa pada Tuhan, "Ya Tuhanku, berilah jalan penyelesaian terbaik terhadap tempe-tempeku yang belum menjadi ini..."
Tiba-tiba terdengar seorang wanita memberi salam, "Assalamuailaikum... awak ada jual tempe yang belum menjadi tak?".
Terkejut besar Jumilah bercampur kehairanan apabila wanita tersebut ingin membeli tempe yang belum menjadi.
"Waalaikumussalam... errmmm... ada, sekejap ya," jawab Jumilah sambil mengeluarkan tempe-tempenya daripada bakul.
Jumilah berdoa di dalam hati, "Ya Tuhanku, jika Engkau telah menjadikan tempe-tempeku ini menjadi maka kembalikan tempe-tempeku seperti sediakala supaya aku boleh menjualnya kepada wanita tersebut".
Jumilah seperti tidak percaya apabila melihat tempe-tempenya masih belum menjadi.
Alangkah gembiranya hati seakan-akan seluruh alam turut merasai betapa syukurnya Jumilah dan lalu bertanya kepada wanita tersebut, "Kenapa awak mahu beli tempe yang belum menjadi ini?".
Wanita tersebut menjawab, "Saya mahu hantar tempe ini kepada anak saya yang berada di England, jadi apabila tempe-tempe ini sampai di sana, barulah cukup-cukup menjadi... baru ada umphhhh!!!"
Tamat.
Sahabat-sabahatku sekalian... belum tentu apa yang kita suka itu terbaik untuk kita dan belum tentu apa yang kita benci itu adalah terburuk untuk kita padahal sesungguhnya Allah s.w.t itulah yang Maha Mengetahui.
Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah s.w.t maka dijadikan baginya jalan keluar dan diberikan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Tiada yang mustahil bagi Allah s.w.t.